Thursday, March 24, 2011

Muhasabah Diri | Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

BismillahirRahmanirRahim 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Senarai semak di bawah merupakan ringkasan dari buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" karangan Fathi Yakan dari Bab 1: Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah. Sama-samalah kita bermuhasabah diri...

1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah.


2. Saya mestilah beriman bahawa Allah tidak mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.


3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab. Saya juga beriman bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah Rasul terakhir dan kitab yang diturunkan kepadanya ialah Al-Quran Al-Karim.


4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah, taat kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:


5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga dan balasan ke atas orang kafir ialah api neraka.


6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri.


7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t.


8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya.


9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya


10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhanan (UluhiyyahNya), kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada yang menandingiNya, Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada kebesaranNya, keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu, iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.


11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah s.w.t. Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.



12. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak menyekutukan dengan yang lain.

13. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.


14. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir.


15. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa.


16. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya.


17. Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya.


18. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.


19. Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi.

Sumber rujukan: Buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam", Fathi Yakan.
Untuk mendapatkan buku ini, anda boleh download di sini atau di sini.

No comments:

Post a Comment